Friday, August 15, 2008

JAWI LAWAN WAHABI




Seminar Isu-Isu Semasa Akidah OLEH

JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

Kebanyakan orang-orang Islam kini cenderung untuk kembali menghayati ajaran Islam. Walau bagaimanapun tanpa pengetahuan dan ilmu yang mencukupi, kesungguhan itu kadang-kala menyebabkan mereka terkeliru dan ada yang terjebak kepada ajaran-ajaran sesat.

Menyedari hakikat ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Penyelidikan telah mengadakan ‘Seminar Isu-Isu Semasa Akidah’ bertujuan untuk memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai isu-isu akidah umat Islam di Malaysia disamping memantapkan kefahaman mereka kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seminar yang diadakan pada 6 Ogos 2008 di Dewan Nurseri, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur melibatkan seramai 100 orang peserta. Mereka terdiri daripada para guru Sekolah Menengah di sekitar Wilayah Persekutuan.

Seminar ini diisi dengan 3 slot ceramah. Sesi pagi ceramah bertajuk, ‘Perbomohan, Persilatan & Tarekat Dari Perspektif Islam’ yang disampaikan oleh Us. Abdul Halim b. Zakaria dari Universiti Malaya. Kemudian disusuli dengan ceramah bertajuk, ‘Wahhabi & Rufaqa’ oleh Tuan Haji Zamihan b. Mat Zin dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Pada sesi petang pula satu slot ceramah bertajuk, ‘Ancaman Agama Lain Terhadap Islam di Malaysia’ oleh En. Lim Joi Soon Abdullah dari Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Perasmian dan penutup seminar disempurnakan oleh Y. Bhg. Puan Hjh. Saimah bt. Mukhtar, Timbalan Pengarah Operasi JAWI. Dalam ucapan, beliau berharap seminar ini dapat membantu para peserta dalam menangani masalah moral dan ancaman akidah di kalangan pelajar-pelajar mahupun masyarakat setempat.

http://www.jawi.gov.my/melayu/index.php?option=com_content&view=article&id=172:seminar-isu-isu-semasa-akidah&catid=2:arkib-berita&Itemid=15